PERSEDIAAN SEBELUM MEMOHON BIASISWA HES

Hi!

UPDATED 21 APRIL 2025.

Pengenalan:
Saya Mira, penerima biasiswa 'Huayu Enrichment Scholarship'  selama 6 bulan bagi tahun 2024 di sebuah universiti di Kaohsiung, Taiwan. Bermula daripada permohonan sehinggalah saya tiba ke Taiwan, hampir semuanya saya lakukan sendiri. Jadi, saya ingin memanfaatkan platform blog saya ini untuk kongsikan pengalaman dan tips dengan anda yang berhasrat untuk memohon biasiswa ini pada masa akan datang. Saya doakan semoga urusan anda memohon biasiswa ini dipermudah dan diterima. Sebarang pertanyaan boleh tanya di bahagian komen dibawah supaya rakan-rakan yang lain juga dapat tahu. 

Jangan lupa kongsikan link ni pada sahabat lain.

Jika anda berhasrat untuk memohon Huayu Enrichment Scholarship (HES), sudah tentulah anda akan berharap agar permohonan anda berjaya. Oleh itu, persediaan sebelum anda pergi ke Taiwan terutama dari segi kos perbelanjaan perlulah difikir-fikirkan dahulu.






Jika anda pernah dengar mengenai biasiswa ini, pasti anda tertarik akan elaunnya yang tinggi iaitu RM3,600 bersamaan 25,000NTD sebulan. Eh kejap, itu pada 2024. Pada 2025, elaun dinaikkan menjadi 28,000NTD iaitu sekitar RM4,000. Fuh jadinya untuk 3 bulan anda akan dapat RM12,000. 

Tapi.... ada satu benda yang anda perlu tahu dan anda tidak akan tahu mengenai hal ini kecuali anda bertanya kepada bekas penerima biasiswa seperti saya...


Duit biasiswa SELALUNYA diberi seawal seminggu setelah mula kelas. TETAPI ada juga kes luar biasa dimana yang duit biasiswa diberi SEMINGGU sebelum semester berakhir. Tahu tak siapa yang mengalami kes luar biasa tu? SAYA LAH!!!!

Jadi, untuk mengelakkan anda dapat duit biasiswa lewat, lebih baik anda bertanya kepada CLC tersebut bila mereka beri duit biasiswa tu, adakah boleh tolak terus untuk bayar yuran.

Ini kerana jika duit biasiswa masuk lambat, ini bermakna anda perlu menggunakan duit anda sendiri sepenuhnya. Jika anda dari keluarga M40 dan T20 keatas, rasanya ianya bukanlah satu isu besar kerana anda ada 'bank' backup.

Tapi untuk B40 seperti saya dan menggunakan duit simpanan sendiri, saya sendiri juga agak terkejut kerana ianya melebihi bajet asal.

Semoga apa yang saya kongsikan ini bermanfaat untuk anda yang bakal memohon untuk sesi 2025.


Kos yang anda perlu ambil kira:
*saya ambil purata sahaja. 

1. Tiket kapal terbang 
Anggaran RM500 sehingga RM1,000 sehala termasuk bagasi 25kg.
Untuk pergi balik sekitar RM1,200 - RM1,800 termasuk bagasi.
Kos: RM800 (tiket balik boleh beli guna duit biasiswa dah)

2. Travel Insurans * OPTIONAL 
Anggaran sekitar RM300-RM500 mengikut pakej yang diambil. Jika anda yakin anda tidak akan sakit, boleh abaikan insurans ni. 
Kos : RM400

3. Persediaan barangan 
Seperti pakaian, makanan, beg, alat tulis. Jika ingin jimat, boleh guna apa yang ada je.
Kos : RM1,000

4. Tempat tinggal
Tinggal di asrama sebenarnya adalah lebih menjimatkan kerana yurannya hanyalah sekitar 8,000ntd-12,000ntd untuk 3 bulan.

Tapi, banyak juga universiti yang tidak menyediakan tempat tinggal termasuklah uni saya.

Jadi, anda perlu mencari tempat tinggal sendiri. Jika bilik sewa, selalunya anda perlu bayar deposit maksimum dua bulan. 

Kos bilik sewa pula bergantung kepada nasib anda. Jika anda bernasib baik, dapatlah sewa RM400 jer sebulan iaitu NTD3,000 tetapi anda perlu jangkakan yang terburuk seperti tiada lif, hanya bilik sahaja, tiada dapur, tiada peti sejuk. 

 Jika anda seorang diri, mungkin ada bilik sewa sehingga RM1,200 sebulan! Fuh sakit mat.
Jadi kita ambil kos yang di tengah-tengah iaitu RM800.

Anda mungkin kena dahulukan duit anda sebanyak RM800. atau jika total kos RM2,400 untuk 3 bulan. Tuan rumah mungkin meminta anda untuk bayar 50% iaitu RM1,200.

Kos : RM1,200

5. Makanan
Kos makan ni sahaja yang kita boleh bajet, jika nak jimat, masaklah. Tapi kos barang basah takdelah murah sangat pun. Jika anda boleh makan 1x sehari dengan kos 200ntd termasuk kos transport ke tempat makan. Anda makan je kat luar. 

Jika anda tinggal di asrama, kebarangkalian untuk tidak boleh memasak tu tinggi, jadinya perlu ada bajet yang sedikit besar untuk makan diluar. 

Anggaran RM30 sehari untuk 30 hari sebelum anda menerima duit biasiswa, jadinya RM900.

6. Yuran 

Yuran ni merupakan kos terbesar diantara semua. Jika anda sanggup dahulukan wang anda dahulu, tidak mengapa. 

Jika tidak sanggup, anda perlu bertanya kepada university tersebut adalah mereka boleh menunggu sehingga anda menerima duit biasiswa atau mereka boleh tolak terus dari duit biasiswa kerana ianya akan melalui mereka juga kan.


Ada universiti yang ingin anda membayar yuran penuh pada hari anda mendaftar.Ada yang menerima bayaran 50% dan 50% lagi akan ditolak daripada duit biasiswa.

Yuran pula serendah RM2,800 (21,000ntd) sehingga RM4,500 (34,000ntd) untuk satu semester bersamaan 3 bulan. Kita ambil average iaitu RM3,650.

7. Transport
Jika anda dapat duduk asrama, anda tidak perlu keluarkan satu sen pun untuk ke kelas. Kan dah jimat tu! Hanya perlu keluarkan duit jika anda mahu ke restoran halal atau jalan-jalan sekitar bandar anda tinggal.

Anggaran RM10 sehari untuk 30 hari sebelum anda dapat biasiswa. RM300.

Jika di Kaohsiung ni, harga MRT, LRT, Bas berbeza. harga bermula RM1.3 sehingga RM4.

Kos : RM300

Lain-lain kos / perbelanjaan kecil
Anggaran : RM1,000 

8. SIMCARD -

Mempunyai nombor telefon Taiwan amatlah digalakkan kerana ia akan memudahkan anda untuk membuat sebarang urusan disini termasuklah urusan bank, tempahan, pembelian dan sebagainya.

Saya ada tulis lebih lanjut mengenai simkad >> KLIK DISINI.

3 BULAN = 1,800nt (RM260)
4 bulan - 2,300nt (RM320)

Saya galakkan untuk beli je yang 4 bulan melainkan anda memang plan nak balik Malaysia sejurus selepas habis kelas. 

Total duit yang anda perlu dahulukan duit anda:
Kapal terbang : RM800
Travel Insurance: RM400
Persediaan Barangan: RM1,000
Tempat tinggal : RM1,200
Makanan: RM900
Yuran: RM3,650
Transport: RM300
Simkard : RM260
Lain-lain kos : RM1000
Total kos: RM9,510

Ini adalah anggaran sahaja. Walaupun anda dapat biasiswa bernilai RM12k. RM9,510 ini perlu datang dari poket anda kerana anda belum dapat duit bisasiswa tu lagi.

Jom kira berapa anda perlukan jika anda cuma kira kos yang WAJIB sahaja
Kapal terbang : RM800
Travel Insurance: RM400
Persediaan Barangan: RM1,000
Tempat tinggal : RM1,200 (TOLAK DUIT BIASISWA)
Makanan: RM900 (RM30x8 hari = RM240), sebab lepas seminggu dapat duit biasiswa dah. 
Yuran: RM3,650 (TOLAK DARI DUIT BIASISWA)
Transport: RM300 (ASSUME ANDA TINGGAL DI ASRAMA)
Simkard : RM260
Lain-lain kos : RM1000
Total kos: RM2,300 



Maka, disini anda perlukan dahulukan duit anda minimum RM2,300 sahaja daripada yang asal tadi RM9,510. Banyak tak beza? sebab tu lah saya tekankan sangat-sangat untuk tanya universiti tu dahulu bila duit biassiwa masuk.

Post ni bukan untuk menakutkan anda tetapi untuk memberi kesedaran yang tak semuanya indah jika anda ambil mudah. 

Jika anda dah fikirkan semua kebarangkalian ini dan bersedia untuk menghadapinya atau menganggapnya sebagai satu cabaran dalam hidup anda. Apa salahnya?

Okay lepas baca ni janganlah cancel plak nak apply scholarship ni tauuu..

 WARNING: You are prohibited from republishing this article on your website without author's consent(mira). Write with dignity. Thank you.

Post a Comment

0 Comments

Ad Code

Responsive Advertisement