Assalamualaikum semua,
memandangkan hampir setahun berlalu maka saya nak kongsikan pengalaman saya menunaikan haji diusia muda iaitu sebelum 30 tahun.
Mulanya saya nak tulis bagi habis dulu baru publish, tetapi atas kekangan masa, saya tak dapat nak berikan komitmen untuk tulis sampai habis. Jadi, saya buat keputusan untuk tulis sikit-sikit.
Intipati cerita saya susun ikut topik kecil dibawah, mungkin ada 3-4 part untuk cerita sebelum bertolak ke mekah.
Tajuk kecil : Giliran haji, Kursus Haji terbuka, Karnival Haji 2024, Daftar Haji Dengan PJH, Tawaran Haji, Panggilan Pertama, Rayuan Haji, Semak Jawapan, Rayuan Haji, Berkat Doa Ibu, Tawaran Haji.
GILIRAN HAJI
“Mendaftar Dahulu, Didahulukan”, konsep ini telah diperkenalkan oleh TH sejak dari tahun 1995 iaitu pendaftaran haji terbuka. Oleh itu, pendeposit TH yang mendaftar haji akan diperuntukkan tahun untuk menunaikan ibadah haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat.
Ramai yang ingat bila akaun Tabung Haji sudah dibuka, maka auto sudah mendaftar haji. BUKAN!
Buka akaun Tabung Haji VS Daftar haji adalah dua perkara yang berbeza.
Untuk daftar haji ni, anda perlu ada minimum RM1,300 dalam akaun baru boleh daftar haji. Manakala untuk buka akaun je tak perlu ada sejumlah itu.
Ibu saya daftar haji untuk dirinya pada 28 April 2009, tahun peruntukan haji pada 2025 (asalnya 2024). Saya pula daftar haji pada 31 May 2013, tahun peruntukan haji pada 2054. Masa tu umur saya sudah 60+ tahun. Entah hidup lagi ke tidak, entah larat ke tidak Wallahu 'alam.
Kenapa saya daftar 2013? Kenapa tak daftar sekali dengan ibu saya? Sebabnya mak saya tak tahu dan tak diberitahu oleh staff TH tu semasa di kaunter. Kita plak jarang pergi TH kan so memang takde lah nak tahu sangat info ni. Zaman dahulu bukan macam sekarang.
Saya daftar tu pun masa nak tukar akaun kanak-kanak ke akaun dewasa. Akaun Tabung Haji dah lama ada sejak kecil tapi daftar haji tu belum lagi. Agak sayang sebenarnya sebab sebenarnya boleh dah daftar terus masa buka akaun masa kecik-kecik dulu tapi masa tu ibu saya tak terfikir nak daftar haji untuk anak-anaknya. hehe.
Saya pun sebenarnya masa tu belum lagi membuat menyimpan khusus untuk pergi haji kerana rasa macam muda lagi, awal sangat nak fikir. lagipula saya baru kerja 2 tahun, masih dalam fasa menyimpan duit untuk beli kereta, simpanan kecemasan 6 bulan, travel, umrah dah sebagainya.
Sebenarnya ini pemikiran yang patut diperbetulkan. Hal ini kerana kos haji makin hari makin bertambah walaupun pergi dengan Muassasah (Tabung haji yang mengikut giliran) kerana mereka akan mengurangkan subsidi sedikit demi sedikit. Jadi, persediaan awal diperlukan sekurangnya setahun simpan seribu ringgit. sebulan kurang RM100. Nak seribu daya, betul tak?
KURSUS HAJI TERBUKA
Pertama kali saya hadiri kursus haji ni ialah pada 2022, kerana masa itu ibu saya dijangka dapat panggilan haji pada tahun 2024. Jadi, saya sebagai anak solehah (angkat bakul) haruslah menemani ibu saya pergi kursus haji yang dilakukan di masjid kawasan rumah saya ni.
Kursus ni hanya dibuat seminggu sekali dan ianya terbuka kepada orang awam. Pengisian kursus haji ni lebih kepada mereka yang bakal pergi dengan Muassasah. Perjalanan sebenarnya sedikit berbeza dengan mereka yang pergi dengan PJH, tapi tidak apalah janji ilmu mengenai ibadat tu sama je.
Pada 2023 juga saya pergi Kursus Haji Bersama ibu kerana jika giliran pada 2024, maka 2023 adalah tahun terakhir untuk pergi kursus haji terbuka ni. Jujurnya semasa menghadiri kursus terbuka ini, saya agak kurang focus kerana saya fikir nanti lupa juga kalau tak dapat pergi haji.
Baca >> Perbezaan Haji Muassasah dan PJH
0 Comments
Thank you for your comment ^_^